17 October 2008

TOLONG JANGAN PERLEKAH SKUAD NEGARA

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD DAN FERZALFIE FAUZI

PETALING JAYA - Pihak yang memperlekehkan sebarang keputusan yang diperoleh sama ada menang mahupun kalah, akan sentiasa mencipta alasan dan mencari apa sahaja yang tidak kena pada skuad bola sepak negara khasnya dalam Pestabola Merdeka Ke-40 ketika ini.
Jika menang sekalipun, mereka akan menganggapnya kerana lawan terlalu lemah dan tuan rumah dibantu keadaan padang atau cuaca tertentu tetapi kecaman akan bertambah keras sekiranya anak buah B. Sathianathan kalah kepada pasukan seperti itu di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.
Komen Saya,
Tahniah diucapkan kepada Pasukan Bolasepak Negara kerana berjaya mengatasi cabaran Nepal dalam saingan Bolasepak Pestabola Merdeka. Kritikan demi kritikan terhadap Pasukan Bolasepak negara telah lama kedengaran. Walaubagaimanapun, Pasukan Bolasepak negara harus berfikiran positif terhadap kritikan tersebut dan menganggapnya sebagai pembakar semangat bagi menempuhi cabaran-cabaran yang akan datang. Janganlah bersikap mudah berpuas hati dengan kemenangan yang besar terhadap lawan tak kiralah sama ada lawan itu mempunyai status yang lebih baik dalam ranking dunia atau tidak.
Pasukan Bolasepak negara seharusnya memperkemaskan lagi teknik dan strategi bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar di dalam sukan Bolasepak bukan sahaja untuk Pestabola Merdeka, malah untuk lain-lain pertandingan yang akan disertai di masa-masa akan datang. Mutu dan semangat berpasukan haruslah ditanamkan dengan lebih berkesan agar Pasukan Bolasepak negara kita akan dapat mencapai seperti mana taraf bolasepak kita di satu masa dulu.
Disamping usaha dan kerja keras pasukan bolasepak negara, sokongan daripada penyokong khususnya penonton tempatan serta pihak Pengurusan Bolasepak Negara (FAM) amatlah penting seiring dengan matlamat sukan negara bagi melahirkan Pasukan Bolasepak yang digeruni seperti mana Pasukan Bolasepak negara di zaman 70-an dahulu.

No comments: